MEI 2023

Jalan Projek Jiwa Murni Akan Dinaik Taraf


SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan menaik taraf jalan Projek Jiwa Murni di luar bandar negeri ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata ini berdasarkan cadangan Kerajaan Sarawak kepada pihaknya dengan kerja naik taraf jalan daif akan memerlukan kos sebanyak RM85 juta.

"Jalan Projek Jiwa Murni ini kebanyakan  di kawasan Baram, Hulu Rajang, Kapit dan ada juga di kawasan Betong," katanya selepas mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini.

Rubiah berkata, projek terbabit telah dilaksanakan angkatan tentera bagi membina jalan perhubungan ke kampung di kawasan luar bandar yang jauh dan sukar.

Namun jalan terbabit tidak mengikut spesifikasi pembinaan jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak dapat didaftarkan bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang ada peruntukkan khas kerajaan bagi kerja penyelengaraan jalan.

"Sebab itu sekarang kita naik taraf semua jalan-jalan Projek Jiwa Murni mengikut spesifikasi  ditetapkan JKR, yang boleh daftar dengan MARRIS. Dan pada masa akan datang ada peruntukan penyelenggaraan,” tambahnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti